Anjing dan Melayu
Pertamanya, maaf sebab menggabungkan anjing dan Melayu dalam sepotong ayat. Barangkali tidak manis, tidak sopan dan tidak setaraf kedudukan kedua-duanya. Anjing sejenis haiwan, Melayu etnik pecahan manusia di dunia, mustahil bersatu harmoni.
Semestinya pandangan ini ditolak 100 peratus majoriti Melayu. Pasti juga anda melabel saya liberal, lupa asal usul, terpesong akidah, kurang didikan agama dan pelbagai lagi gelaran serba kurang. Bagi anda, pegangan, kepercayaan dan pendapat anda sahaja benar, mulia dan wajar diguna pakai.
Keduanya, ini pandangan peribadi saya. Tidak bererti, saya mahu anda bersetuju, jika tidak suka tidak mengapa. Saya juga tidak perlu kata-kata 'bertaubatlah' dan seangkatan dengannya, hanya kerana saya memilih untuk menyantuni anjing.
Memang sejak kanak-kanak, saya dididik untuk takut kepada anjing. Orang sekeliling terutama orang dewasa menjadi penggerak terhadap penanaman stigma 'benci' kepada anjing. Maka, setiap kali terlihat anjing, lajulah jantung, berpeluh-peluh, menggigil tubuh sebab gentar teramat kepada makhluk Allah yang satu ini. Bimbang dikejar dan digigit. Mendengar salakannya sahaja sudah mencemaskan langkah.
Pantang anjing merapat, mulalah batu di jalanan diangkat, bersedia untuk dilempar andai kata saya dan kawan dikejar. Pernah sekali saya dikejar seekor anjing yang berjaya menggigit kasut saya sebelum dihentikan seorang abang bermotosikal. Satu jam saya menggigil, bertambah-tambah ketakutan dan trauma saya kepada anjing.
Namun hairannya, tidak pernah pula saya berhasrat untuk membenci anjing. Biarpun jelas saya tahu, anjing tergolong dalam najis mughallazah (najis berat) dalam konteks Islam. Beberapa kali saya berkunjung ke rumah rakan yang memelihara anjing, mereka sangat mengerti dan mengasingkan anjing peliharaan mereka sepanjang keberadaan saya di rumah mereka.
Saya pun tidaklah teringin untuk memegang anjing suka-suka, membelai apatah lagi memeluk. Beberapa bulan lalu, ketika pulang ke kampung, terkejut saya melihat seekor anak anjing ditambat di bawah pohon rambutan rumah saya. Kata ibu saya, terdapat tiga ekor anak anjing yang sering berkeliaran di kawasan rumah saya dan seekor daripadanya itulah yang berjaya ditangkap pak cik saya.
Kebetulan ketika itu pak cik saya menginap di rumah anaknya di Kuala Lumpur untuk beberapa hari. Dalam keadaan takut-takut saya mendekati anak anjing itu yang cuba untuk melepaskan diri daripada ikatan. Sudah beberapa hari ia tidak diberi makan dan minum. Ibu saya takut untuk meletakkan minuman walaupun ia diikat. Bayangkan kalau anda diikat tanpa diberi minum beberapa hari, bagaimana perasaan anda?
Maka saya pun memberi anak anjing yang saya beri nama Boboy itu makan biskut kucing yang kebetulan saya bawa dalam kereta dan memberinya minum. Sekejap sahaja Boboy menghabiskan makanan itu. Keesokannya saya beri ia makan lagi dan bercadang untuk melepaskan ikatannya. Kalau tidak mahu diberi makan dan minum, buat apa ditambat, biarlah ia bebas, Anak-anak buah saya pun sibuk menjenguk keadaan Boboy. Mereka juga faham, anjing tidak boleh dipegang seperti kucing tetapi apa yang menyentuh hati adalah melihat keprihatinan mereka terhadap Boboy.
Selepas tali yang mengikat Boboy saya potong, ia langsung tidak berganjak. Keesokan harinya juga Boboy tidak ke mana-mana. Ia seperti mahu terus tinggal di bawah pokok itu dan menyelia rumah, Paling lucu, bila saya datang menghampiri, ia meloncat-loncat girang tetapi tidak pun saya menyentuhnya dan ia seakan faham jarak yang diwujudkan kerana tidak sekali ia menggesel-gesel minta dibelai. Disebabkan Boboy memilih untuk tinggal, saya berpesan kepada ibu saya agar diletakkan Boboy di ladang sawit belakang rumah. Mungkin boleh dibuatkan rumahnya di belakang dan Boboy boleh membantu menghalau kera-kera liar yang sering merosakkan buah-buahan. Itu cadangan saya, tetapi selepas pulang ke KL, Boboy telah dibuang pak cik saya ke kampung sebelah.
Boboy sebenarnya anjing pertama yang menyuntik berani saya untuk tidak takut kepada anjing. Sejak itu, rasa takut saya terhadap anjing berkurang walaupun masih gugup apabila berselisih dengan sekumpulan anjing liar di pejabat. Namun sekarang saya lebih tenang dan perasan bahawa tidak seekor pun anjing liar itu mengganggu atau 'mengusik' saya.
Saya beruntung kerana bertemu Boboy, biarpun sekejap. Saya tidak menyalahkan orang Melayu yang masih memandang serong anjing dan terang-terangan menunjukkan kebencian mereka terhadap haiwan tersebut. Saya hairan, bagaimana sebuah acara yang pada awalnya dianjurkan bertujuan menyebarkan fahaman positif terhadap anjing dalam kalangan orang Islam di negara ini dihentam dan diludah majoriti Melayu?
Sejujurnya, mungkin sesetengah yang hadir bertindak berlebihan dengan memuat naik foto-foto berpelukan bersama anjing sebagai bukti mereka kini 'berani'. Acara itu sendiri mengajar cara-cara sertu / samak yang dikendalikan insan cerdik agama. Kenapa tidak fokusnya ditumpukan kepada pengisian program? Kenapa gambar-gambar memeluk anjing lebih diperbesarkan? Secara tiba-tiba Jakim mahu menyiasat acara tersebut. Masyarakat juga membentak betapa sesatnya acara itu demi memesongkan akidah umat Islam di negara ini.
Ia dijenakan ramai orang. Berpusu-pusu cendekiawan laman sosial membahas hujah dan memetik dalil mengatakan itu dan ini. Ada juga yang menyatakan, mungkin selepas ini akan diadakan kempen memegang babi. Maaf jika saya terkasar, orang yang menyamakan anjing dan babi bodoh! Benar, kedua-duanya najis berat dan dua jenis haiwan ini sahaja yang disebut di dalam kitab suci al-Quran sebagai haram.
Bagaimanapun, anjing haiwan yang hidup dalam persekitaran normal manusia. Ia bebas merayau di sekeliling kita. Berbeza dengan babi yang keberadaannya terhad di ladang ternakan dan ia bukanlah binatang peliharaan.
Suka saya mengimbau kembali kes seorang lelaki yang memanah seekor anjing beberapa bulan lalu. Gara-gara dikatakan mahu melindungi keluarganya, lelaki Melayu itu memanah anjing jenis Rottweiler itu sebanyak dua kali. Anjing yang dinamakan Brianna itu didapati buta. Selepas beberapa hari, Brianna mati. Peliknya, tidak pula seluruh orang Melayu bersama-sama mengecam tindakan lelaki itu. Adakah kezaliman terhadap anjing itu satu norma masyarakat kita sehingga ia dihalalkan? Mungkin kita melihat bahawa haiwan yang haram itu tidak punya hak untuk dimuliakan.
Cuba bandingkan, mana tindakan lebih mulia? Menganjurkan acara bertujuan mendidik kefahaman tentang anjing ataupun membunuh anjing yang tindakan ke atas pelakunya disenyapkan begitu sahaja? Barangkali saya lupa, di dunia, hanya hukum manusia relevan diguna pakai. Kalau pandangan saya ini menjadikan saya liberal dan berdosa di mata manusia, saya terima. Saya akui, persiapan agama diri belum lengkap. Saya masih belajar dan berusaha mengubah diri menjadi lebih baik. Kalau perbandingan itu menjadikan anda lebih mulia, saya terima.

+BW.jpg)

Ulasan
Catat Ulasan