Peta baharu Maroon 5 = Sesat!
Band Maroon 5 kembali bersama buah tangan baharu buat pengikut tegar mereka. Album berjudul V yang dijadualkan dipasarkan bermula September depan diharapkan dapat memulangkan semula ritma asal kumpulan muzik yang ditubuhkan pada tahun 1994 menerusi nama Kara's Flowers itu.
Diketuai Adam Levine selaku vokalis, Maroon 5 mula meraih perhatian dunia melalui album komersial sulungnya, Songs About Jane pada tahun 2002. Single pertama Harder to Breathe dikeluarkan dalam tahun yang sama. Namun hanya selepas dua tahun album dan single itu diedarkan di pasaran, barulah kehadiran Maroon 5 dipandang serius industri muzik.
Introduksi awal itu menuntun Maroon 5 tampil menghadiahkan single kedua berjudul This Love. Percaturan mereka berjaya. Single tersebut melonjak status Maroon 5 ke puncak populariti dengan pantas. Kejayaan mereka diteruskan apabila She Will Be Loved menyusul tidak lama kemudian.
Secara jujur, single keempat daripada album Songs About Jane, Sunday Morning mengubah aliran muzik milenium yang ketika itu masih bersisakan hip hop dan punk rock + pop. Sela masa itu sebenarnya didominasi band seperti Simple Plan, Good Charlotte, Blink 182, My Chemical Romance malah Avril Lavigne, selaku pendatang baharu.
Melodi segar berserta pengisian rentak yang masih belum meluas saat itu mudah meletakkan Maroon 5 sebagai penggerak kepada peralihan genre muzik berkumpulan kegilaan remaja. Keunikan mereka masih utuh apabila album It Won't Be Soon Before Long (2007) yang menampilkan komposisi karya terbaik seperti Makes Me Wonder, Wake Up Call, Won't Go Home Without You dan If I Never See Your Face Again.
Percaya atau tidak, itulah kali terakhir saya (secara peribadi) membeli album Maroon 5 dalam bentuk fizikal (CD, Songs About Jane dibeli dalam bentuk kaset). Bukan kerana berhenti meminati mereka tetapi sambungan perjalanan muzik mereka bagaikan hilang magnetnya. Album Hands All Over (2010) misalnya hanya memikat pendengar dengan single pertama, Misery yang disifatkan satu anjakan mengejutkan dalam karier Maroon 5. Begitupun Misery masih menepati standard kelunakan dan keserasian lirik, melodi, attitude dan vokal Adam.
Moves Like Jagger yang dianggap sebagai penyelamat album tersebut tidak disangkal berjaya menjadi antara lagu paling kerap diputarkan sepanjang tahun 2011 dan 2012. Namun ia sekadar bersifat 'hit' dan rancak, sebuah lagu yang dicipta untuk tujuan hiburan, tidak lebih daripada itu. Secara automatik, saya andaikan jiwa dalam setiap muzik Maroon 5 telah mati.
Mungkin album Overexposed (2012) ialah hasil kerja mereka paling saya kurang gemari. Single Payphone contohnya berjaya menukarkan ketaksuban saya terhadap vokal berhantu Adam menjadi meluat dan menyampah. Entah mengapa suara Adam begitu membingitkan gegendang telinga, lesap segala kedamaian lampau saat vokal bernyawanya lancar meluncur bait-bait lirik romantis dalam She Will Be Loved atau aura keseksian lelaki menerusi This Love. Ia telah hilang!
Kini, Maroon 5 mempertaruhkan single pertama daripada album V berjudul Maps. Selepas 10 kali diulang dengar, Maps masih gagal memancing saya untuk kembali jatuh cinta kepada Maroon 5. Maps bukanlah tidak sedap, cuma ia masih kosong jiwa yang sepatutnya ada dalam setiap karya Maroon 5. Mungkin, populariti dan pendedahan mega yang diterima mereka terutama Adam telah membekukan nilai artistik tersebut, maka yang tinggal hanya gubahan lagu untuk penyedap telinga, bukan lagi berfungsi untuk menyembuh dan menginspirasi jiwa.
*Ulasan bersifat peribadi. Pengikut Maroon 5 lain mungkin mempunyai pendapat berbeza.







+BW.jpg)
Ulasan
Catat Ulasan