KL Fashion Week 2014!
Lima hari, 24 slot pertunjukan fesyen bersama 80 penglibatan pereka tanah air dan sekitar Asia Tenggara menutup tirainya semalam. Sejak 18 Jun lalu, ruang tengah pusat beli-belah Pavilion, Bukit Bintang bertukar menjadi pusat perkumpulan para VIP, artis tanah air, fesyenista, pemerhati fesyen dan wartawan. Suasana itu berlanjutan sehingga 22 Jun lalu.
Itulah kemeriahan Minggu Fesyen Kuala Lumpur / Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2014! Bukan setakat bertujuan mengisi kalendar minggu fesyen tempatan, penganjuran KLFW2014 oleh Andrews Models buat kali kedua berturut-turut kali ini pelu diberi pujian.
Pengagihan pereka mengikut slot pertunjukan selama lima hari diatur dengan bijak. Begitu jua ruang yang diberikan kepada barisan pereka luar yang datang dari Thailand dan Filipina misalnya, mencerminkan keterbukaan KLFW2014 memberi platform buat mereka memperkenalkan karya di peringkat Asia Tenggara.
Wajah-wajah yang menderap langkah di atas pentas peragaan juga seimbang. Hadirin tidak lagi terbuai dengan ketampanan dan keanggunan model Eropah yang majoritinya berkulit putih. Kali ini kita boleh melihat dominasi dan penguasaan peragawan dan peragawati tanah air seperti Tuti, Rita Suraya, Tinie, Ahya dan Mathni, sekadar memetik beberapa nama. Sejuk mata melihat wajah tempatan yang berkulit sawo matang atau hitam manis melangkah lebih energetik berbanding model antarabangsa yang lain.
UiTM8 diberi kepercayaan sebagai perasmi KLFW2014. Lapan pereka yang terdiri daripada graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Reka (Fesyen) itu menjadi kelompok pelajar pertama menjejak pentas peragaan berprestij tersebut. Sebagai pelapis industri fesyen masa depan, hasil kerja UiTM8 sememangnya menepati piawaian sesebuah pertunjukan fesyen.
Segunung pujian perlu diucapkan buat Afiq Farhan menerusi label komersialnya, Fiq Farharn. Tema Mandala yang diketengahkan Fiq menjadi bualan ramai malah dia juga berjaya mendapatkan aktor tempatan, Nazim Othman selaku wajah kempen rasmi koleksi sedia pakai musim bunga/panas 2014 itu.
Mandala berkisar tentang pemusatan penataan grafik. Ia disifatkan Fiq sebagai inspirasi yang boleh muncul di alam mimpi, bayangan atau tercipta secara spontan dalam bentuk kesenian. Ia turut menggendong fahaman keagamaan dan kebudayaan.
Fiq memerhati rekaannya menerusi kaleidoskop Mandala yang secara harfiahnya berupaya memisahkan, memberi refleks dan menerangi. Kelompok Mandala pula digambarkan sebagai seseorang yang bersedia untuk sebarang perkara tanpa mengira siang atau malam mahupun ringkas atau elegan. Wanita Mandala menggemari kontradiksi kerana ia merupakan definisi stail mereka.
Wan Aizat Ghani (Wan Aizat) juga tidak menghampakan. Menggunakan haiwan mistik, kuda sebagai punca cerita, koleksi sederhana namun mewah Wan Aizat bagai ada saktinya. Setiap helaian pereka ini berjaya menterjemahkan pengaruh keindahan dan kekuatan yang ada pada haiwan majestik itu sendiri.
Disasarkan kepada individu berusia 17 hingga 35 tahun, koleksi yang dihasilkan daripada gabungan kanvas kapas, linen, jersi dan kapas likra itu dibahagikan kepada pakaian kasual, koktel dan gaun malam.
Pentas KLFW2014 hari pertama terus digamatkan dengan simfoni melodi alunan sekumpulan pemuzik yang dibawa khas pereka yang sedang mencipta nama, Joe Chia. Terkenal dengan gaya misteri dan rekaan monokrom, Joe tampil bertenaga menerusi rentetan rekaan Chapter04. Kesinambungan metafora drama bisu yang sering dihebahkan Joe dapat dilihat jelas pada setiap helaian baharu yang diperagakan.
Memetik inspirasi daripada kekejaman yang berlaku di seluruh dunia, bab 4 dalam nashkah seni Joe kali ini tertumpu kepada adaptasi ketenteraan. Filosofi kepada liberasi dipaparkan menerusi lapisan-lapisan yang disuntik jiwa agar denyutan nyawa itu dapat disedari setiap yang melihat. Biarpun sarat rona kusam seperti hitam, kelabu dan biru pudar, mesej Chapter04 masih memutarkan sentimen keamanan dan kedamaian.
Ciri fungsional masih diterapkan walaupun ia melewati transformasi potongan yang unik. Penekanan diberikan kepada lengan raglan (lengan yang sampai ke garis leher dan kelimnya menyerong dari bawah lengan ke leher) yang diserongkan di sekitar bahu, seluar dengan kelangkang labuh bersama penambahan alunan dan lengan siku berstruktur untuk penonjolan ekstra terhadap siluet lelaki dan efek mengejutkan.
Afiq M juga kembali menghangatkan pentas KLFW2014. Nama pereka berusia 23 tahun ini sering meniti di bibir para cendekiawan fesyen tanah air. Namun Afiq masih belum mencapai pengenalan komersial seperti yang diperoleh pereka baharu lain. Barangkali kesediaan Afiq untuk memikul jenamanya secara bersendirian belum mencapai tahap sepenuhnya. Afiq juga masih mengutip pengalaman bersama pereka berpengalaman dan terkini, dia berpayung di bawah sayap Syaiful Baharim.
Mungkin suatu hari kelak, apabila Afiq sudah bersedia, namanya bakal memuncak sepantas kilat. Mengapa? Bakat, kreativiti dan keaslian rekaan adalah kekuatan pereka ini. Biarpun perlahan mencipta prestij, introduksi Afiq perlu digeruni pereka lain. Menerusi rekaan yang minimalis tetapi mampu mencipta impak glamor seksi yang mengghairahkan, kebolehan terpendam Afiq dikeluarkan sehabis baik kali ini.
Rona gelap khususnya monokrom sememangnya menjadi signatur Afiq. Namun untuk KLFW2014, dia sengaja keluar dari landasan asal dengan bermain bersama sedikit percikan palet terang lembut. Secara keseluruhan, belahan pada setiap helaian Afiq menjadi lambang feminin yang mungkin menjadi ikutan tidak lama lagi.
* Ulasan hanya berkisar pada hari pertama KLFW2014.
+BW.jpg)
.jpg)



Ulasan
Catat Ulasan