Magnum serap semangat gorila




Koleksi baharu Alessandro Baldieri, Magnum merangkum seimbang fungsional dan reka bentuk. Sebelum beralih ke dalam dunia horologi, Baldieri telah berkhidmat selaku pereka hiasan dalaman selama 20 tahun. Justeru rekaan jam tangannya banyak dipengaruhi nilai artistik yang tinggi.


Kunci fizikal Magnum terletak pada saiznya yang bervariasi daripada diameter 46mm sehingga 53mm. Penekanan setara ke atas reka bentuk, material, warna, kualiti dan harga juga menjadikan ia seutas jam tangan yang sempurna serba-serbi.


Diinspirasikan daripada jam tangan penyelam tentera Itali, Magnum didatangkan bersama turisan imej gorila pada bahagian belakang bekasnya, membentuk signatur tersendiri. Pemilihan gorila sebagai ikon Magnum adalah atas dasar karakternya sebagai hidupan vegetarian paling hebat di dunia dan terkenal sebagai pencinta keamanan. Faktor lain adalah kerana Baldieri sendiri enggan mengaitkan jam tersebut terhadap imej negatif seperti peperangan, senjata dan keganasan.

Sebagai jam tangan yang diadaptasi dengan ciri buat penyelam, Magnum dilengkapi fizikal meyakinkan termasuk kaca mineral keras K1 yang bersifat antipantulan, 20 ATM rintang air dan 120 klik putaran bezel untuk ketepatan kiraan yang lebih baik. Keringkasan dail dan jarumnya yang berkilau pula memudahkan si pemakai menentukan waktu dengan pantas. Ia dikuasakan oleh gerakan automatik dalaman yang berasaskan daripada pergerakan Jepun. Rekaan elegan bekas bersaiz 48mm-nya juga berkualiti tinggi kerana kemasannya diperbuat menggunakan tangan.


Sebagai lelaki kreatif yang sangat terperinci dalam hasil kerjanya, Baldieri memastikan Magnum disediakan dalam kualiti terbaik. Ia termasuk penggunaan tali kulit yang dijahit tangan bersama tiga rona benang yang dipilih berdasarkan kesepadanan dengan warna bekasnya. Kesemua jam tangan Baldieri turut didatangkan bersama uncang kulit yang boleh digunakan untuk tujuan lain.



Jam tangan Magnum oleh Alessandro Baldieri ditawarkan dalam pilihan keluli tahan karat, PVD coklat dan PVD hitam. Kesemua variasi ini kini boleh didapati di rangkaian outlet Red Army Watches di Pavilion KL, Tropicana City Mall dan 1Utama. Harga bermula daripada RM3,090 sehingga RM3,310.



Ulasan

Catatan Popular